Khatamun Nubuwwah

Khatamun Nubuwwah

Tuesday, October 16, 2012


 
ADAB MENUNTUT ILMU

 
1.Ikhlas
Menuntut ilmu tidaklah untuk lulus dalam perperiksaaan, untuk bergaji tinggi, untuk dikatakan orang yang bijak pandai atau lain2 niat melainkan hanya kerana Allah SWT.

Daripada Ibn Umar RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang menuntut ilmu kerana selain daripada Allah SWT ataupun menghendaki menuntut ilmu selain daripada kerana Allah SWT, maka disediakan tempat duduknya daripada neraka." [HR Tarmizi]

 2.Beradab dengan orang yang memberi ilmu
Berkata Imam Syafie :

"Siapa yang ingin dibuka hatinya oleh Allah, maka hendaklah ia bersunyi diri, sedikit makan, menjauhi daripada bergaul dengan orang yang bodoh, dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan mereka yang berilmu" [Syarah Mazhab, jilid 1, m/s 31]


3.Banyak Sabar
Imam Syafie pernah berkata:

"Tidak diperolehi ilmu kecuali dengan bersabar atas kesengsaraan." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, m/s: 237]

4. Menulis Setiap Perkara Yang Dipelajari

Kata Abu Hurairah ra:

"Tidak ada seorangpun daripada sahabat Rasulullah SAW yang paling banyak meriwayatkan hadis kecuali Abdullah bin Amr bin al Asr, maka sesungguhnya dia telah menulis dan aku tidak menulis" [HR Ahmad dan Baihaqi]
 
 5.Tawadhu'
Imam Ahmad bin Hambal berkata:

"Kami disuruh supaya tawadhu' (rendah diri) kepada siapa yang kami pelajari ilmu daripadanya." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, m/s 274]

   
6. Menjauhi dari makan banyak
Ibn Jama'ah berkata:

"Sebesar-besar perkara yang menolong seorang penuntut ilmu dengan kefahaman dan tidak rasa jemu adalah makan sekadarnya daripada makanan yang halal." [Kitab Fadhlu al Ilmi m/s 222]

 7.Tidur yang sedikit
Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan mata air, mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat baik; mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan pada akhir malam mereka meminta ampun (kepada Allah SWT)." [Az Zariyat 51 : 15 – 18]


8.Kurangkan berkata-kata / percakapan yang tidak berfaedah
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bercakaplah dengan perkataan yang baik ataupun diam."
Wallahua'lam
 

Sunday, October 14, 2012



SEJARAH ASAL USUL KORBAN: 


1. Korban Zaman Nabi Adam A.S (Rujuk Surah Al-Maidah : 27- 31)

2. Korban Zaman Nabi Nuh A.S

3. Korban Zaman Nabi Daud dan Sulaiman A.S

4. Korban Zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S
 

5. Korban Zaman Nabi Musa A.S

6. Korban Bangsa Yunani dan Rom

7. Korban Abdul Mutalib nenda Rasulullah S.A.W

PENGERTIAN KORBAN

Bahasa : Nama yang diberikan terhadap apa yang dikorbankan atau apa yang disembelih pada Hari Raya Adha.

Dinamakan juga sebagai ‘Udhiyyah’ yang berasal daripada perkataan ‘Dhuha’ iaitu waktu Dhuha, kira-kira antara jam 7.00 hingga 11 pagi, kerana korban disyariatkan oleh Allah SWT supaya dilaksanakan setelah selesai Solat Eidul Adha.

Ada juga yang mengatakan ianya berasal daripada perkataan Al-Udhiyyah dan Ad-Dhahiyyah yang dimaksudkan binatang sembelihan seperti unta, lembu, kambing yang disembelih pada hari Raya Korban dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan untuk mentaqarrubkan diri kepada Allah.

Syarak : Menyembelih haiwan yang tertentu dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dalam waktu yang khusus (hari-hari Nahar). Ibadah ini telah disyariatkan pada Tahun Kedua Hijriyah sepertimana juga disyariatkan ibadah zakat dan Solat Dua Hari Raya (Eidul Fitri dan Eidul Adha) dan telah dipastikan syariat mengenai berdasarkan al-Quran, Sunnah dan ijma’ ulamak.

Hukum melakukan qurban :
Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ibadah qurban ialah sunnah muakkad (sunnah yang amat dituntut) menurut kebanyakan mazhab fiqah. Dalam Mazhab Imam Abu Hanifah, amalan tersebut dianggap sebagai ibadah wajib. Wajib di sini ialah sesuatu yang lebih ringan daripada ‘fardhu’ dan lebih berta daripada sunnah. (Imam Abu Hanifah membezakan antara Fardhu dengan wajib, tidak sebagaimana imam-imam yang lain).

Hukum wajib di sini bermakna sesiapa yang meninggalkannya dianggap berdosa sekiranya mereka terdiri daripada golongan yang berkemampuan dan berkedudukan. Rasulullah pernah ditanya mengenai amalan qurban tersebut, lantas baginda menjawab;

“Itulah sunnah daripada bapa kamu, Ibrahim…” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Al-Hakim)
 
 

Friday, February 17, 2012

Maulidurrasul - Layakkah Kita Bergelar Ummat Muhammad Saw.??



Sambutan hari kelahiran Baginda SAW yang disambut setiap tahun oleh masyarakat Melayu Islam di negara ini, iaitu sempena memperingati tanggal 12 Rabiulawal Tahun Gajah / 20 April 571M  ( menurut sesetengah riwayat , tarikh kelahiran sebenar Baginda saw ialah pada 9 Rabiulawal ); tanggal kelahiran seorang bayi yang akhirnya telah membawa suatu fenomena baru serta perubahan besar dalam sejarah peradaban dunia.

Kedatangan Baginda saw adalah bagi meneruskan kesinambungan tugasan para Nabi dan Rasul sebelumnya, malah Baginda juga merupakan penutup bagi segala Nabi dan Rasul utusan terdahulu dan sesungguhnya Baginda diutuskan kepada seluruh umat manusia hingga akhir zaman. Kelahiran Baginda merupakan suatu rahmat dari Allah swt ; sebagai panduan, petunjuk dan idola ikutan bagi setiap manusia.

Seperti kebiasaannya, setiap tahun rakyat Malaysia meraikan sambutan Maulid yang diisi dengan pelbagai program seperti ceramah, selawat dan tidak ketinggalan juga ada pihak2 yang mempertahankan aktiviti perarakan supaya menjadi satu aktiviti wajib bagi memperingati Baginda saw, tanda umat yang cintakan Nabinya.  Soalnya, seajuh manakah bukti cintanya kita kepada Baginda saw ? Adakah cukup sekadar dengan berarak beramai2 di sekeliling pusat bandaraya , sambil membawa sepanduk dan berpakaian kebangsaan, diiringi dengan laungan selawat ke atas Baginda ? Adakah itu sudah mencukupi bagi menunjukkan tanda ingat, cinta, kasih dan sayangnya kita kepada Baginda saw ?

Kita sendiri tidak pasti, sekiranya Rasulullah saw muncul ( dengan izin & kehendak Allah swt ) di negara kita ini, sambil melihat dan memerhatikan keadaan umatnya di akhir zaman ini ; ambil contoh umat Muhammad di negara kita Malaysia...agak2nya adakah Baginda akan mengakui kita sebagi umat Baginda ? Pastinya tidak , malah kemungkinan Baginda akan memalingkan muka dan menangis melihat keadaan umatnya yang hidup jauh menyimpang dari ajaran suci Islam yang dibawah Baginda sejak 1400 tahun yang lepas; umat yang hidup bergelumang dengan dosa dan maksiat kepada Allah swt, umatnya yang tidak lagi menghidupkan sunnah Baginda, malah jika ada golongan yang memakai jubah dan serban, dan makan menggunakan tangan di dalam satu dulang akan dianggap sebagai 'kolot' dan ketinggalan zaman...naudzubillah....umatnya (wanita) yang berpakaian tetapi telanjang ; umatnya yang sering melengah2kan solat, malahan ramai yang mengabaikan perintah solat; memakan harta dari sumber yang haram, tidak mahu mengeluarkan zakat; Al Quran sudah tidak lagi menjadi panduan dan rujukan seharian; artis2 serta penyanyi2 wanita berleluasa; dengan mengambil kira contoh2 kemaksiatan seperti di atas, adakah Baginda akan mengiktiraf kita sebagai umat Baginda..?? tentu sekali jawapannya 'TIDAK'...  

Sesungguhnya sebagai bukti kecintaan kita, kasihnya kita kepada Baginda saw, ialah dengan memastikan kita patuh dan taat sepenuhnya kepada perintah Allah swt dan perintah Nabi kita Muhammad saw., tanpa berbelah bagi dan dengan sepenuh hati, disamping kita mengikuti dan menghidupkan sunnahnya , mengadaptasi sunnah Baginda dalam kehidupan kita seharian, kerana Baginda telah meninggalkan kepada kita Al Quran dan juga sunnah Baginda, yang merupakan panduan serta rujukan lengkap kepada seluruh ummat manusia hingga ke akhir zaman.  

Malangnya, segala khazanah, usaha serta penat lelah dan hasil tinggalan Baginda saw, telah dikesampingkan dan tidak dipedulikan lagi, termasuklah oleh pemimpin2 yang berugama Islam sejak lahir dari perut ibu mereka ( Islam secara automatik ). Hukum Al Quran diperlekehkan, sunnah Baginda menjadi suatu bentuk penghinaan, sekiranya diamalkan. Ulama' pewaris Nabi tidak lagi mendapat tempat di kalangan pemimpin dan juga masyarakat, tetapi orang2 yang memusuhi Allah dan memusuhi Islam , sering menjadi pujaan, mendapat tempat teratas dan menjadi idola ikutan mereka2 yang mengganggap Islam dan agama ini sebagai isu peribadi, cuma relevan untuk dibincangkan di surau dan masjid sahaja.

Oleh yang demikian, adakah layak kita bergelar Ummat Muhammad saw ? tepuk dada..tanyalah iman masing-masing...

Sabda Rasulullah saw "Bermula Islam itu asing dan kelak akan kembali asing seperti semula. Maka berbahagialah orang-orang yang terpencil yang tidak banyak kawannya, iaitu orang yang melestarikan sunnahku yang sudah dirosakkan oleh manusia" ( HR Muslim dan Tarmidzi )

Wednesday, January 25, 2012

Setiap Manusia Pasti Mati

Baginda Rasullullah S.A.W berkata: "Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi: "Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilingnya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S. Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang sekelilingnya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.”

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah rohnya dari arah lain."

Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Maka berkata tangan: "Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini sebab tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan." Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu." Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga.

Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."

Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis Asma(nama)Ku di telapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang ke mana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju ketujuh tempat:

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.

2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.

3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.

4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.

5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak dibumi dantidak di langit hingga hari kiamat.

6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik (wangian).

7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa beserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah S.A.W :"Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya :

1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah."

Friday, January 20, 2012

Memperingati Almarhum Ustaz Fadzil Noor





 


SEMPENA 11 TAHUN PEMERGIAN  ( 2001 -  2012 )  

" Islam sebagai satu Al-Din tidak dapat ditakfsirkan dengan fikiran manusia. Dalam mentafsirkan makna Islam itu kita wajib berpandukan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah serta orang yang menghayati Al-Quran dan Al-Sunnah seperti para sahabat, Ulama-ulama dan juag para Tabi’in. Kita tidak melihat dan memahami cara Islam membentuk satu peradaban kemanusian seperti yang digambarkan oleh setengah orang. Islam juga bukanlah satu kebudayaan atau serpihan daripada kehidupan manusia, kalau kita melihat dan mengambil Islam dengan cara yang sedemikian, dapatlah diumpamakan seperti orang buta yang cuba mengenali seekor gajah. Bila dipegangnya ekor gajah itu dikatakan gajah itu seperti tali, apabila dipegang kaki gajah itu dikatakannya gajah itu seperti tiang dan apabila terpegangnya telinga gajah itu dikatakan gajah itu seperti dinding .sedangkan tali, tiang dan dinding bukanlah gajah tetapi ia hanya sebahagian daripada anggota-anggota gajah itu.




( Ustaz Fadhil Nor: 1992)


Malaysia semenjak zaman disentuh angin sejahtera Islam sejak ratusan tahun dahulu, tidak pernah gagal untuk menampilkan ulama’’ dan pemikir Islam sehingga ada yang bermukim di Mekah untuk menyampaikan ilmu di Masjidil Haram. Ulama’’ yang dilahirkan di Tanah Melayu ini bukan sahaja mampu mengajar kitab di masjid namun menjulang senjata untuk menentang penjajah kuffar. Antara ulama’’ ini ialah Tuan Guru Haji Hassan Bin Munas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Ustaz Abu Bakar al Bakir dan ratusan ulama’yang lain.

Dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, pentas siasah negara ini menyaksikan pertarungan ideologi yang pelbagai samada kebangsaan Melayu, sosialisme, Islam dan sebagainya. Pelbagai tokoh muncul dalam menyuarakan aspirasi perjuangan yang diperjuangkan, sebahagiannya mampu bertahan di pentas siasah dan ada yang tersungkur ditelan waktu. Salah seorang insan yang telah melakar nama dalam sejarah politik Islam negara ini ialah Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor.

Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini "Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama’ ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanapa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.

Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah ilahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di bangku menengah lagi.

Latar belakang keluarga

Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Takdir ilahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibubapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam.
Darah ulama’ pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga beliau adalah pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama Allah.

 Pendidikan

Memimpin masyarakat bukan sekadar menjadi insan yang mesra rakyat yang sekadar memenuhi jemputan kenduri kahwin tetapi mestilah dipakejkan dengan ilmu formal dan tidak formal. Almarhum merupakan seorang tokoh yang konsisten dalam menuntut ilmu, sentiasa menimba ilmu bagi menjadi pemimpin yang kredibel.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama’ iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962.

Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu, beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanahair iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Beliau bukan sahaja mendapatkan ilmu daripada dewan kuliah di Al-Azhar tetapi juga menggali mutiara ilmu daripada ulama’-ulama’ Mesir untuk memantapkan ilmu beliau sebagai bekalan dakwah untuk pulang menabur kebaktian di tanahair.

 Perkahwinan

Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Kemudian setelah berkahwin, menemankan almarhum belajar di Al-Azhar. Perkahwinan mereka yang sangat bahagia dalam kesibukan belajar dan berjuang telah membuahkan kurniaan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna’izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Sebahagian anak-anaknya juga terlibat dalam perjuangan Islam seperti Muna’izzah dan menantu beliau Sabki Yusuf.

 Bakat Kepimpinan

Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Berada di Mesir ketika negara itu diterkam hebat oleh Isreal dalam perang Arab Israel pada tahun 1967, di zaman Gamal Naseer. Beliau juga menjadi saksi bagaimana zalimnya regim Mesir terhadap pejuang-pejuang Islam di negara tersebut. Universiti al Azhar pula tidak sunyi daripada kegiatan Islam yang memberikan pengalaman yang sangat berharga kepada ustaz Fadhil. ( Universiti tersebut masih mempunyai kebebasan kala itu ).

 Perkhidmatan

Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978.

Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan.

Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.

PAS di penghujung dekad 70an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihanraya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia. PAS wajar ‘disuntik darah muda’ supaya kembali bertenaga, ditengah samudera juang yang memerlukan bahtera yang ampuh.

 Aktiviti Kemasyarakatan

Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah.

Beliau pernah menganggotai Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS dimana 8000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.

Fadzil Nor telah memegang jawatan setiausaha penerangan pertubuhan itu dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang yang banyak dirujuk oleh Anwar dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80an terutama selepas Anwar menyertai UMNO.

 Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an.

Ustaz Fadhil sangat memerhatikan gerakan membina anak-anak muda dalam gerakan dakwah, beliau tokoh pembina yang penting di negara ini: kata beliau:
"Kedatangan Islam yang di bawa oleh Rasullullah S.a.w itu mendapat sambutan dari kalangan muda.

 Rasullullah saw menyebut dalam hadisnya :
"Golongan mudalah yang membantu perjuangan dakwah"

Itulah antara sebab kaum Quraisy tidak senang, mereka mahu golongan muda mereka hidup berpoya-poya, mereka mahu golongan muda mereka menghabiskan masa dengan hiburan ,mereka mahu golongan muda mereka tenggelam dalam kesesatan. Inilah cita-cita kaum Quraisy, dalam kebingugan golongan muda, dalam kesesatan golongan muda dalam kemungkaran yang dilakukan oleh golongan muda mereka boleh meneruskan kezaliman dan kejahatan.

Tetapi apabila mereka melihat golongan muda menyahut panggilan Allah, menyahut panggilan Rasul, menyahut panggilan islam inilah yang menyebabkan mereka tidur tidak lena, makan tak lalu. Yang menyebabkan mereka tidak senang dengan Islam dan kebangkitannya di akhir abad ke 14 dan di awal abad ke15 ini, ialah keran Islam mendapat sambutan golongan muda. Inilah menyebabkan Amerika tidak senang, Rusia tidak senang, Yahudi tidak senang dan Khadam-khadam mereka pun tidak senang. Bila Tuan mereka tidak senang maka khadam ikut tidak senang juga. Menjadi satu perkara biasa khadam ini ikut tuan. Kadang-kadang ia berlagak lebih dari tuan.

Rusia sedang dalam ketakutan sekarang untuk menghadapi mujahidin Afghanistan walaupun ia kuasa besar kerana ia melihat Mujahidin Afghanistan itu sendiri dari golongan ummat Islam Afghanistan, dari mereka yang berumur 15 tahun hingga ke 70 tahun. Inilah golongan yang menyertai gerakan mujahidin di Afghanistan."

Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulama’-ulama’ untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan BN dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. Beberapa tokoh PUM juga kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

Ustaz Fadzil menyedari ulama mempunyai kekuatannya yang tersendiri dalam masyarakat, mereka kelompok yang mewarisi amanah ilmu daripada nabi SAW. Ulama disepanjang zaman menjadi benteng pertahanan Islam diseluruh belahan dunia Islam, berdadad dengan kezaliman pemerintahan seperti Imam Ahmad Ibnu Hambal, Imam Nawawi, Imam Ibnu Taimiyyah dan sebagainya.

" Peranan ulama seperti yang diterangkan oleh sumber-sumber itu ialah menyampaikan Islam, melaksanakan Islam dan memperjuangkan Islam. Peranan ‘ulama’ dalam kehidupan ialah memikul tanggungjawab dakwah Islamiyyah dengan menyeru manusia kepada Islam. Mereka juga wajib menerangkan hukum Allah bagi semua persoalan hidup yang dihadapi oleh masyarakat dalam semua peristiwa yang berbangkit dan diantara kewajipan dan peranan ‘ulama’ juga ia menjelaskan kepada pemerintah, menegur dan mengkritik pemerintah dan melaksanakan Al-Amru Bil-Makruf dan Nahyu Anil-Munkar.

Tanggunjawab Ulama, seperti menegur, mengkritik pemerintah dan memberi penjelasan kepada pemerintah merupakan "kerja politik" yang mesti dipikul dan disedari ‘ulama’. Oleh yang demikian tidak boleh sama sekali membiarkan adanya ‘Ulama’ (juhhal) yang sanggup menyatakan bahawa Islam tidak boleh dicampur adukan dengan politik atau politik tidak ada kene mengena dengan Islam."

Beliau sangat rapat hubungannya dengan masyarakat dengan menghadiri majlis-majlis keraian, kenduri kendara, menziarahi orang sakit dan kematian. Jika tidak hadir beliau akan memaklumkan atau hadir ke majlis lebih awal daripada masa yang dijadualkan, pendek kata almarhum tidak akan mengecewakan undangan yang diterima. Beliau bergegas pulang dari sidang Parlimen semata-mata untuk meraikan sesuatu majlis yang diadakan oleh penduduk, sikap cakna dan mengambil berat kepada undangan masyarakat menyebabkan beliau sangat disayangi

 Penglibatan dalam Politik
Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kecenderungan politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di negeri Kelantan (Kelantan semenjak pilihanraya 1959 sentiasa membuka pintu untuk calon PAS dari luar Kelantan). Jelapang padi ini kaya dengan sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti peristiwa Memali dan peristiwa Lubuk Merbau (1985).

Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah menyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983.

PAS telah menghadapi transformasi kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan kepimpinan ulama’. Ustaz Fadzil adalah barisan ulama’ muda yang diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua di Malaysia.

Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989.Beliau menghadapi saat-saat sukar dalam penglibatannya sebagai pimpinan iaitu peristiwa Memali, ustaz merupakan Pesuruhjaya PAS negeri Kedah dimana dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kes ini.

Pembabitan awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. Beliau dilihat anak muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa menuntut di Mesir. Dalam pilihanraya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu Abdul Rahman, namun pilihanraya itu telah memperkenalkan almarhum kepada pengundi kawasan itu.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan Majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Haji Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414.

Pada Pada Pilihan Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Allahyarham mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen).

Di DUN Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. Kemenangan ini cukup manis kerana DUN ini adalah berada di pinggir bandar yang menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk orang bukan Islam. DUN anak Bukit adalah DUN baru yang dipecahkan melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya dan tuah telah menyebelahi Ustaz Fadzil manakala Mohamad Sabu telah memenangi Parlimen Kuala Kedah. (Perlu diingat bahawa Mohd Sabu hanya menang kurang daripada seribu undi) maknanya Ustaz Fadzil telah mendapat banyak undi peribadi daripada luar kelompok PAS.

Allahyarham juga berusaha keras agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim dimansuhkan , akta tanpa bicara itu telah memberangus lebih 4000 orang mangsa sejak diperkenalkan pada tahun 1960, almarhum cukup dekat dengan kesengsaraan mangsa-mangsa tahanan ISA tanpa mengira latarbelakang mereka, samada daripada kalangan ahli PAS atau pun tidak. Beliau sangat konsisten dalam menentang akta ini kerana akta ini telah menjaring ramai ahli-ahli PAS dan juga aktivis ABIM sebelumnya.

Ustaz menunjukkan keprihatinan yang mendalam terhadap mangsa kezaliman ISA, beliau semasa memimpin PAS sentiasa peduli kepada keluarga mangsa ISA, tidak lokek menghulurkan bantuan kewangan dan menyuarakan isu ini disemua peringkat. Beliau turun naik ke Bukit Aman merudingkan pembebasan mangsa ISA, terrmasuk meminta pihak berkuasa membatalkan waran tangkap terhadap ustaz Ibrahim Libya. Semasa menjadi ketua Pembangkang di Parlimen, ustaz Fadzil menyokong kuat Gerakan Mansuhkan ISA.

Beliau juga sangat prihatin dengan isu antarabangsa yang menimpa umat Islam, dengan latarbelakang sebagai pimpinan pelajar, pimpinan belia Islam, ustaz sentiasa bersama dengan penderitaan umat Islam sedunia. Beliau tidak kekok untuk turun berdemonstrasi bersama anak muda, disiram dengan pancutan air kimia yang menyengat kulit, dibom gas pemedih mata. Di perhimpunan aman seperti di lebuhraya KESAS, dihadapan kedutaan asing, beliau dengan lantang menyemangati anak-anak muda dan peserta bantahan, kadang tanpa segan sebagai pemimpin ummah untuk membakar bendera Israel atau Amerika.

Almarhum bukan sekadar galak membakar perasaan para demonstran tetapi juga melibatkan diri secara langsung dalam situasi antarabangsa. Apabila tentera Russia meninggalkan Afghanistan , beliau bersama tokoh gerakan Islam antarabngsa yang lain seperti Sheikh Mustapha Masyhur qazi Hussain terus bergegas ke Afghanistan untuk mendamaikan kumpulan yang bertelingkah.Begitu juga , apabila berlaku reformasi di Indonesia, parti-parti Islam seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Ustaz Fadzil bersama pimpinan PAS hadir ke Jakarta, mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh Islam yang diketuai oleh Hamzah Haz. Nasihat beliau kepada teman-teman di Jakarta supaya tidak memperbanyakkan parti Islam, kukuhkan saf untuk berhadapan dengan musuh yang bersatu.

Segala kenangan dengan lelaki berhati emas ini sangat mengesankan , beliau mampu mengingati nama-nama anak buah dengan baik, bertanya khabar, mengambil berat, seolah ayah kepada sebuah keluarga besar.

Perjalanan akhir yang memilukan
Sang murabbi ini telah mewakafkan hidupnya untuk perjuangan Islam, semenjan zaman muda yang tidak pernah lelah. Kehadirannya dalam masyarakat disedari oleh ummat, beliau mengharungi zaman payah perjuangan , melepaskan jawatan sebagai penjawat awam untuk meranduk medan juang yang penuh getir, terjahan fitnah menerkam bertubi-tubi namun beliau terus mara tanpa menghiraukan penistaan . Ustaz sentiasa mengambil berat dan peduli maka wajarlah disayangi oleh ummat,didoakan selepas meninggalkan alam yang fana ini.
Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta, Allah SWT. Berbondong-bondong manusia ramai menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqimah bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan tentangnya dihati setiap manusia yang berada dipelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh almarhum untuk merealisasikan kompleks pendidikan PAS Kedah.
Manusia telah bertali arus mendatangi Muasasah Darul Ulum untuk menziarahi makam beliau yang sangat sederhana, tanpa binaan megah melainkan sentiasa didatangi pengunjung untuk menitip doa kepada mujahid yang telah mewakafkan kehidupannya untuk perjuangan Islam. Semasa saat-saat akhir untuk urusan pengebumian, langit tenang seolah turut berduka, ribuan mata mengalir air mata kesedihan dengan tazkirah ringkas daripada Tuan Guru Mursyidul Am, sarat dengan makna yang mendalam seumpama tazkirah Saidina Abu Bakar di hari kewafatan Rasulullah. Kematian adalah kepastian kepada sebuah perjalanan hidup, tinggal lagi bagaimana kita akan memberi makna kepada kehidupan itu. Al Fatihah...







Thursday, January 12, 2012

TUAN GURU DATO’ DR HARON DIN


Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rajab 1359 (tarikh Hijrah ini mengikut kiraan komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis. Berkahwin dengan seorang isteri dan dianugerahkan Allah dua orang anak lelaki dan tiga perempuan. Beliau dibesarkan dikalangan keluarga yang kuat mengamalkan ajaran agama Islam. Ibu bapa beliau adalah guru al-Quran yang mengajar bacaan al-Quran kepada masyarakat setempat.
Beliau adalah anak yang ketiga daripada 10 orang adik beradik. Mempunyai seorang abang dan kakak dan seorang adik lelaki menakala enam adik perempuan. Dua orang saudara lelaki beliau juga tokoh agama terkenal iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din. Ayahanda beliau dikenali sebagai sebagai Lebai Din, yang juga seorang perawat yang mengamalkan rawatan pengubatan Islam.
Lebai Din juga seorang guru silat yang mengamalkan Silat Gayung Petani, bagaimanapun ilmu silat ini tidak langsung diturunkan kepada anak-anaknya. Berkenaan ilmu pengubatan Islam, Lebai Din hanya menurunkan ilmunya kepada seorang anaknya sahaja iaitu kepada Ustaz Haron Din. Lebai Din hanya mengijazahkan ilmunya dan memberi buku catatan pengubatan kepada Ustaz Haron Din sahaja.
Ustaz Haron Din menerima pendidikan awal di tangan ayah dan ibunya sendiri. Kemudian dimasukkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali. Seterusnya ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor. Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965). Di kolej ini beliau memperolehi Sijil Tertinggi Kolej dengan cemerlang kemudian telah memenangi hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat “Master Degree” di Universiti Al-Azhar, Cairo (1966-1968). Dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperolehi dua degree serentak iaitu M.A (Ijazah Sarjana) Syariah daripada Universiti Al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari ‘Ain Shams, Universiti Cairo.
Setelah memperolehi Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah. Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cermerlang daripada Universiti Darul-Ulum Qahirah (1972-1974).
Pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Akademik adalah bidang kerjayanya. Kekeluargaan Islam adalah jurusannya. Sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor” kepadanya sejak tahun 1986.

LATAR BELAKANG TUAN GURU DATO’ DR. HARON DIN DALAM BIDANG PENGUBATAN ISLAM

Ayahanda Ustaz Haron Din berasal dari Patani dan menetap di Kampung Bohor Mali Perlis. Dia merupakan seorang perawat yang melibatkan diri dalam dunia perubatan dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Qur’an, hadith dan doa-doa. Daripada 10 orang adik beradik, hanya Ustaz Haron Din yang menunjukkan minat dalam bidang rawatan Islam ini, menyebabkan ayahandanya sering membawanya ketika merawat.
Pengalaman yang dilalui oleh orang tuanya ketika merawat sama ada di rumah atau dijemput merawat pesakit secara tidak langsung melibatkan diri Ustaz Haron Din dalam dunia perubatan walaupun umumya ketika itu masih terlalu muda lagi. Ayahanda beliau merupakan perawat yang disegani di kampung juga di kawasan sekitarnya. Sebagai tanda hormat, orang kampung mengelarnya Lebai Din.
Ustaz Haron Din amat mengkagumi kejayaan ayahnya merawat orang gila, dirasuk dan juga penyakit kronik yang lain. Kekaguman melihat kejayaan ayahnya telah melahirkan keinginan beliau untuk mengikuti jejak langkahnya. Setelah meningkat dewasa beliau memujuk ayahnya supaya menurunkan ilmu yang dimilikinya. Ketika itu umur beliau baru dalam lingkungan belasan tahun dan masih menuntut di Sekolah Arab Alawiyah.

Walaupun beliau sering mengikut bapanya merawat pesakit tetapi ayahnya tidak begitu mudah menurunkan ilmu yang dimilikinya. Ayahnya berpesan agar beliau mendalami ilmu agama terlebih dahulu. Belaiu hanya diajar ilmu perubatan ketika berada pada akhir pengajlan sekolah menengah. Ilmu yang diajar hanyalah asas pengubatan sahaja.Sebagai seorang murid, Ustaz Haron Din yakin tentang dirinya walaupun menyedari bahawa untuk mempelajari ilmu seumpama itu bukanlah mudah. Beliau juga berkeyakinan bahawa beliau dapat memberi khidmat pertolongan dengan baik kepada mereka yang memerlukan. Oleh sebab itu, di samping belajar daripada ayahnya, beliau berazam untuk terus mempelajari ilmu yang berkaitan dengannya. Selain bapanya, ahli keluarga beliau yang lain juga mahir dalam bidang perubatan Islam. Antaranya ialah bapa saudara beliau sendiri iaitu Ustaz Said bin Ali.

Keluarga Ustaz Haron Din memiliki banyak khazanah ilmu perubatan. Kunjung mengunjung antara keluarga di Perlis dan Patani terus berlaku dan mereka sering berbincang tentang kaedah dan petua perubatan. Beliau selalu mendampingi ayahnya dan secara tidak langsung ia memberi pendedahan kepada beliau tentang ilmu perubatan. Ketika belajar di Mesir, Ustaz Haron Din tertarik dengan kaedah rawatan yang diguna oleh Dr. Kamal yang dikenali sebagai hypnotism. Setelah kembali ke tanah air beliau berpeluang belajar dengan seorang perawat dari Sarawak iaitu Tuan Haji Mursidi. Kaedah Haji Mursidi hampir sama dengan kaedah yang dimiliki oleh Dr. Kamal.

Selain belajar melalui kitab dan pengalaman, Ustaz Haron Din juga mendalami ilmunya daripada ‘alim ulama yang menggunakan kaedah rawatan Islam. Di antaranya ialah al-marhum Dr. al-Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi seorang ulama’ dari Malaysia yang menetap di Mesir. Pemergian Ustaz Haron Din kali kedua ke Mesir untuk mendapat ljazah Doktor Falsafah (1971-74) telah memberi peluang kepadanya untuk berdampingan dengan Dr. al-Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi. Antara doa yang dipelajari ialah doa penerang hati. Latar belakang doa ini ada kaitan dengan sunnah Rasulullah s.a.w.. Selain itu beliau juga berguru dengan al-Syeikh Muhammad Bayumi, seorang yang ‘alim dan sering berada dan mengajar di Masjid al-Azhar.

Ketika di Mesir pada awal 70-an, Ustaz Haron Din sempat berkenalan dengan Bapak Mokhtar Lintang. Pak Mokhtar adalah perawat yang menggunakan kaedah Islam. Kesempatan tersebut telah diguna oleh beliau untuk menimba ilmu perubatan seberapa banyak yang boleh. Sekembalinya ke Malaysia, ketika tinggal di Taman Bangi Kajang, Ustaz Haron Din dikunjungi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Leh. Beliau mengaku sebagal seorang perawat yang terkenal di Langkawi. Beliau telah mengajar beberapa kaedah rawatan kepada Ustaz Haron Din. Antaranya ilmu berkaitan dengan penyakit barah, ketumbuhan, kayap, demam panas, penyakit kulit dan sebagainya. Beliau telah tinggal bersama dengan Ustaz Haron Din beberapa ketika.

Perlis tempat kelahiran Ustaz Haron Din sememangnya mempunyai ramai orang yang arif tentang ilmu perubatan. Terdapat seorang perawat bernama Tok Omar yang banyak menggunakan bahan-bahan dari tumbuh-tumbuhan di samping ayat-ayat al-Qur’an. Ustaz Haron Din telah berkesempatan mempelajari ilmu yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan daripada beliau. Selain itu Ustaz Haron Din juga berpeluang belajar dengan Tahir Abdullah. Beliau yang digelar dengan nama Tok Lang Kiang dintaranya telah mengajar Ustaz Haron Din cara mengeluarkan sampah dari mata.
Perawat-perawat lain yang pernah mengajar Ustaz Haron Din alah Pak Andak Noh dan Haji Husin atau dikenali sebagai Tuk Chin. Pak Andak Noh telah menurunkan ilmu mengeluarkan benda tajam dari badan manusia seperti besi, serpihan kaca, terkena racun dan sebagainya. Ilmu yang diamalkan oleh Tuk Chin pula adalah ilmu yang dinamakan Laduni iaitu ilmu yang dianugerahkan oleh Allah SWT khusus kepada orang yang tertentu.

Perubatan Islam adalah berdasarkan syariat. Ilmu ini mempunyai dua cabang iaitu fizikal dan spritual. Penekanan yang menjadi keutamaan Ustaz Haron Din ialah rawatan dengan menggunakan doa-doa yang berdasarkan al-Qur’an, hadith Rasulullah s.a.w. dan doa-doa’ lain yang jelas maknanya yang tidak bercanggah dengan syariat Islam. Sungguhpun telah lama berkecimpung dalam bidang perubatan Islam, namun Ustaz Haron Din masih lagi mencari ilmu baru dalam merawat pesakit. Beliau sentiasa bertanya mereka yang arif dalam bidang ini di samping membaca pelbagai buku untuk menambahkan pengetahuan. Tidak semua kaedah yang dipelajari itu dipratikkan, hanya yang bertepatan dengan syariat sahaja akan diamalkan.

RINGKASAN BIODATA TUAN GURU DATO’ DR. HARON DIN
Pendidikan
• Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali
• Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor
• Sijil Tertinggi Kolej – Kolej Islam Malaya (1962-1965)
• Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah – University Al-Azhar (1966-1968)
• Diploma Pendidikan – ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968)
• Ph.D Syariah – Universiti Darul – Ulum Qahirah (1972-1974)

Kerjaya
• Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975 – 1976)
• Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985)
• Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara
• Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB
• Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia
• Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti
• Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor
• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan
• Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank
• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd
• Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis
• Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting

Politik
• Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983)
• Ketua Penerangan PAS Pusat
• Ahli Majlis Syura Ulamak PAS
• Timbalan Mursyidul Am PAS

Nikah Khitbah Satu Alternatif

PERMUDAHKAN NIKAH ..CEGAH PERZINAAN

1. Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas [ zina ] serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini , Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu " Taysir az Ziwaj " dilaksanakan , khasnya oleh pihak berwajib.

2. Taysir Az Ziwaj ialah " Permudahkan Proses Perkahwinan " terutama kepada anak - anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan .

3. Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .

4. Gejala seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia .ala

Firman Allah swt yang bermaksud :

dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui .

An Nuur : Ayat 32

5. Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas [ zina ]. Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] :
Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
  • Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
  • Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
  • Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
  • Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
  • Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
  • Merendahkan hantaran perkahwinan
6. Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :
  • Suami
  • Isteri
  • Wali
  • Saksi
  • Aqad [ Ijab Qabul ]
cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti [sekadar menyebut beberapa contoh] :
  • Masih menuntut di kolej atau uniersiti
  • Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
  • Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
Justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar - benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

7. Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam tempoh itu mereka bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks , maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .

8. Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah .

9. Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .

10. Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]

11. Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

12. Malah menurut Abdul Jalil Borhan , perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 [dalam bahagian 5] enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

13. Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

14. Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [ jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .

b] Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [ mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

15. Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

16. Tegasnya saya sebutkan disini , terutama kepada pihak berkuasa agama , ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak - anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam . Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak , tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan teruna kita berpeleseran , bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar , murka Allah swt itulah yang paling ditakuti .


sumber : Ust Nasrudin Hassan at Tantawi - episod Sebuah Perjuangan